Friday, 26 June 2015

Bagaimana Untuk Menjadi Lebih Kaya ? -Jika Anda Seorang Mahasiswa



Sekiranya ANDA seorang PELAJAR universiti:

935/835 Euro sebulan. Nilai elaun yang diberikan oleh pihak penaja M& J kepada kami, pelajar di bumi Shamrock, setiap bulan. Alhamdulillah kita diberikan rezeki tanpa perlu berhempas pulas membasah keringat bekerja di tengah bendang. Walau bagaimanapun, tidak ramai dalam kalangan kita yang bijak menguruskan kewangan sehingga menyebabkan terjerumus dalam hutang-hutang yang sebenarnya boleh dielakkan. Ada kalangan pelajar yang terpaksa meminta duit daripada ahli keluarga demi menampung kehidupan di sini. Erm..Walhal, elaun sebanyak Euro 835 sebenarnya cukup untuk menampung perbelanjaan sebulan, jika anda tahu bagaimana cara untuk menguruskan kewangan.


Jadi, bagaimana untuk menjadi BIJAK dalam menguruskan kewangan?

1.      Menggariskan FOKUS perancangan

Fokus yang dimaksudkan di sini ialah target perancangan kewangan masa hadapan seperti kewangan sebelum graduasi, infaq, rumah, kereta, peruntukan untuk perkahwinan, melancong, tiket penerbangan pulang ke tanah air, haji dan apa yang ingin dilakukan dengan gaji pertama.

Tidak ramai antara kita yang mempunyai fokus perancangan kewangan masa hadapan. Siapa kata seorang pelajar tidak perlu mempunyai perancangan masa hadapan? Kerana kita masih pelajarlah, kita perlu belajar untuk meletakkan fokus dalam kewangan yang secara tidak langsung dapat membantu mendisiplinkan diri pada masa hadapan kelak. Fokus ini membantu kita untuk mendidik diri supaya bijak mengatur kewangan.


     2.   Buka akaun SIMPANAN berasingan

Sedikit dalam kalangan kita yang mempunyai akaun SIMPANAN berasingan dengan akaun yang dimasukkan elaun bulanan. Sebaliknya, menggunakan akaun SEMASA yang sama dengan elaun.  Tidak susah untuk membuka satu lagi akaun simpanan memandangkan kebanyakan bank menyediakan perkhidmatan membuka akaun simpanan secara online. Pilih jenis akaun simpanan yang bersuaian dengan anda. Sekiranya anda merupakan individu yang kurang mendisiplinkan diri dan boros, pilihlah akaun yang memerlukan notis seminggu sebelum pengeluaran. Barulah anda akan berkira-kira untuk menghabiskan duit dalam akaun semasa anda.


   3.    Menyenaraikan KEPERLUAN & pembahagian elaun ie bajet

Keperluan Vs Kemahuan. Secara peribadinya, perihal antara keperluan dan kemahuan seringkali menjadi dilemma apabila melihat nilai elaun yang baru diterima setiap hujung bulan. 835 Euro bukanlah satu nilai yang kecil. (Tapi bukan juga satu nilai besar lebih-lebih lagi dewasa kini living cost semakin meningkat.)

Ambil sehelai kertas dan sebatang pen. Berfikir sejenak tentang apa yang dirasakan PERLU. Tuliskan setiap KEPERLUAN (bersama anggaran nilai) itu di atas kertas tadi. Sebagai contoh;

Elaun = 835 Euro

a)      Sewa rumah = E 250
b)      Elektrik & gas = E 50
c)       Prepaid/ Bil phone = E 30
d)      Bil air (dikenakan bermula Jan 2015) = E 10
e)      Infaq = E10 (Jangan lokek untuk bersedekah kerana inshaAllah kita juga yang beruntung kelak)
f)    Waste handling fee = E 7
g)    Khidmat services internet = E 11
h)      Pengangkutan (bas) = E 100
i)      Simpanan tetap = E 100 (WAJIB diletakkan nilai tetap. Jangan tunggu lebihan elaun untuk dijadikan simpanan. Masukkan wang ini ke dalam akaun Simpanan anda sebaik sahaja anda menerima elaun.)
j)      Kecemasan = E 50 (sebagai contoh untuk pembelian ubatan kecemasan, GP consultation, yuran program yang perlu dihadiri dsb)
k)      Belanja bulanan = E 200 (Pilih makanan yang sihat dan berpatutan. Jangan dihabiskan duit anda dengan makanan ringan atau makan luar. Sebaiknya, sediakan makanan sendiri, bawa bekal ke kelas. Lebih jimat dan sihat bukan?)

Jumlah = E 818
Lebihan = E 17

Mudah bukan? Daripada elaun bernilai Euro 835, anda akhirnya masih mempunyai lebihan Euro 17 setiap bulan. Lebihan ini boleh dimasukkan ke dalam akaun simpanan atau sekiranya anda bermurah hati, pilihlah untuk menyedekahkan lebihan tersebut dengan membelanja rakan-rakan. InshaAllah ganjaran diberikan di dunia dan di akhirat. Setiap bil elektrik, gas, air, prepaid dsb haruslah dibayar tepat pada masanya bagi mengelakkan tunggakan bil. Lebihan (sekiranya ada) daripada peruntukkan untuk setiap bil tersebut sebaiknya dimasukkan ke dalam akaun simpanan anda. Mungkin sahaja anda bakal memerlukan lebihan tersebut untuk bayaran bil bagi bulan seterusnya (jika nilai bil melebihi peruntukan)

Apa yang boleh dilakukan dengan wang simpanan? Takkanlah biarkan sahaja duit berkepuk-kepuk dalam akaun? Sila rujuk nombor 1 iaitu Fokus Perancangan. Dengan memiliki sejumlah wang simpanan, kita akan lebih mudah untuk menjayakan fokus-fokus yang telah ditetapkan. Jadi, anda tidak perlu mengikat perut pada bulan tersebut kerana separuh elaun telah digunakan untuk menjayakan salah satu fokus perancangan kewangan anda, contohnya melancong semasa cuti musim sejuk.

4.   Mencapai Kebebasan Kewangan
 
Apakah yang saya maksudkan dengan kebebasan kewangan ataupun Financial Freedom?
Kebebasan kewangan adalah apabila anda bebas liabiliti/hutang dan mempunyai asset sendiri. Sebaik sahaja anda tamat pengajian, sebaik-baiknya anda perlu mula membayar hutang pinjaman kepada penaja anda.  Mulakan dengan nilai yang kecil, kemudiannya bertambah banyak apabila anda telah mempunyai pekerjaan yang stabil dan pendapatan tetap. Letakkan target bila anda akan selesai membayar hutang tersebut.

Kurangkan perbelajaan yang tidak perlu, sebagai contoh, pakaian atau kasut berjenama yang mahal, makanan ringan yang tidak sihat dsb. Jika kawasan tempat tinggal anda mempunyai perkhidmatan pengangkutan yang memuaskan dan reliable, mengapa tidak menggunakan perkhidmatan tersebut? Lebih menjimatkan duit bukan? Anda tidak lagi perlu memperuntukkan wang untuk duit petrol.

Jana duit dengan pelaburan. Pilihlah pelaburan yang anda yakin dengan pulangannya, yang mematuhi shariah sama ada pelaburan emas, equity fund ataupun saham (jika anda seorang yang bijak membuat percaturan dan bermatlamat jauh). Letakkan matlamat pelaburan anda: JANGKA MASA PENDEK atau JANGKA MASA PANJANG. Jika anda memilih untuk jangka masa pendek, anda bolehlah memilih pelaburan emas. Harga pasaran global emas amat mudah dijangka sekiranya anda bijak mengikuti perkembangan pasaran global. Beli emas semasa harga pasaran berada tahap rendah. Dalam jangka masa 3-4 bulan, harga pasaran global akan melonjak dan pada masa ini, anda bolehlah menjual emas tersebut. Sekiranya anda ingin memilih pelaburan jangka masa yang lebih panjang, anda boleh memilih equity fund di mana anda boleh memilih tempoh jangka masa (melebihi setahun) tertentu sebelum  anda mengeluarkan hasil pelaburan tersebut. Dapatkan khidmat daripada mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan luas sebelum anda memilih sebarang bentuk pelaburan.

Empat langkah yang dapat Ana kongsikan kali ini. Harap bermanfaat!

Anda juga boleh menggunakan 4 kaedah yang sama walau di mana anda berada hatta di Malaysia sekali pun. Tak perlu tunggu dapat duit Euro atau duduk di Ireland.

No comments:

Post a Comment